Langkau ke kandungan utama

Teaser 1

 


“Sya, jom kahwin…”

Aku terus pusing. Pandang dia…muka aku penuh tanda soal. Mulut tak terkeluar sepatah kata pun dan dia…dia tunjuk satu cincin. Cincin dengan satu permata kecil yang berkilau cantik. Tidak besar tapi cukup untuk buat aku rasa dunia ini seperti terhenti seminit.

Waktu tu….sumpah, aku rasa macam nak jerit gembira. Nak lari keliling taman masjid tanpa kasut pun aku sanggup. Biarlah hujan lebat, biarlah tudung lepek, baju basah sebab hati aku… dah meletup-letup. Rasa macam ada ribuan kupu-kupu dalam dada, pegang reben warna-warni, menari ikut degupan jantung. Bahagia…terlalu bahagia sampai aku terdiam.Tak percaya, tak bergerak, tak bernafas.

        “Sudi kan?…Nur Natasya binti Omar?.”

DUMP!.

Terasa seperti ada petir yang meletup tapi hakikatnya, yang sebenarnya meletup bukan petir tapi hati aku. Hati aku terus jatuh, pecah!. Aku betul-betul harap aku salah dengar tapi dia sebut Nur Natasya binti Omar, bukan aku. Bukan Nur Nurraysa binti Omar.

        “Macam mana?. Kau agak-agak Tasya suka tak?. Rasa macam flat sangat ke?. Sebenarnya aku nak cakap semalam tapi kau susah betul nak bagi ruang.” Suara Jazlan menyambung, relax, selamba…tak tahu yang dia baru tikam jantung aku dengan senyum.

Aku tarik nafas panjang. Dalam. Otak aku bisik, pandang tempat lain, Sya. Jangan pandang dia!. Jangan tunjuk kau goyah!.

Tapi dada aku…berat sangat, macam ada batu besar!.

        “Oi Sya!!.” Dia panggil.

        “Kau dengar tak aku cakap ni?!.”

        “Flat sangat….” aku balas perlahan. Suara aku tak kuat tapi cukup untuk dia dengar. Kalaulah ni mimpi buruk, aku rela. Aku sanggup bangun tengah malam dengan bantal basah asalkan ini bukan realiti.

        “Ouhhh jadi aku kena cakap sambil mencangkung ke?.”

Aku senyum. Senyum pahit.

        “Klise sangat!.” Aku jawab sambil perlahan-lahan pergi. Tak tunggu dia balas, tak tunggu penjelasan. Aku jalan terus ke hujan, ke tempat antara teduhan masjid dan bumi yang basah. Biar kasut aku lencun, biar baju aku basah. Hati aku pun dah basah sejak tadi. Aku dengar langkah dia yang mula kejar dari belakang tapi kali ni aku tak nak berpaling. Tak nak berpatah balik untuk sesuatu yang bukan milik aku pun sejak dari awal.

        “Sya!!. Tunggu dulu!!. Hei….aku belum habis cakap lagi!. Nurraysa!!.”

Jazlan laju potong langkah aku dan sekarang dia basah lencun dari kepala sampai kaki. Baju dia melekap, rambut dia terjuntai tapi mata dia masih pandang aku. Penuh, dalam dan tak lari.

        “Sya, aku nak kau jadi isteri aku. Aku nak kau lengkapkan tulang rusuk aku. Aku nak kau jadi bidadari aku…sampai ke syurga.” Suara dia tak goyah langsung.

Dia hulur cincin tu sekali lagi. Cincin yang sama tapi kali ni di bawah hujan yang tak tahu erti kompromi, betul-betul depan masjid. Sekeliling kami ada beberapa orang yang lalu. Ada yang berhenti, ada yang tengok. Mungkin dalam kepala mereka aku ni gadis yang kejam, biar lelaki setabah tu merayu dalam hujan tapi aku cuma pandang dia. Aku suka cara dia cakap kali ni. Terus, tak berselindung, tak guna bahasa puitis. Hanya keikhlasan dan sebentuk cincin yang ringkas tapi kenapa ‘Sya’ yang dia maksudkan itu bukan aku?. Kenapa bukan Nur Nurraysa tapi Nur Natasya?.

Dan kenapa hati aku masih juga nak percaya walau tahu kebenaran?. Tiba-tiba air mata aku jatuh. Bukan sebab bahagia tapi sebab sedar kadang cinta yang paling dalam, tak seharusnya saling memiliki.

        “Kau….kenapa menangis Sya?.” Jazlan tanya, nada dia pelik seolah-olah baru sedar aku dah pecah dalam diam. Aku cepat-cepat lap pipi, senyum. Senyum kecil yang tak ada tenaga pun.

        “Kalau Kak Tasya kahwin maknanya dia akan keluar lagi dari rumah tu.”

Dia gelak. Sungguh-sungguh.

        “Itu kalau kakak kau terima lamaran aku tapi kalau tak?. Dan kalau pun dia terima… rumah kita kan sebelah je, Sya. Kau boleh je jerit dari tingkap kalau rindu.”

Aku senyum lagi, hambar.

        “Kau memang sahabat aku yang paling baik….”

Dan di situlah puncanya, masalah paling besar ialah kerana kami ‘hanya sahabat’.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teaser 18

  “Kenapa kau sanggup kahwin dengan lelaki tu?.” Soal Jazlan tiba-tiba. Tepat seperti yang dijangka Nurraysa. Dia menghela nafas panjang.         “Kau nak cakap apa sebenarnya ni?. Aku tak nak jelaskan apa-apa buat masa ni.” Suaranya perlahan tapi cukup untuk menzahirkan keletihan yang membalut seluruh tubuh dan jiwanya. Dia memang tak ada mood nak bercakap dengan sesiapa pun. Beberapa detik kemudian, jarak mereka sedikit menjauh tapi Jazlan tetap melemparkan satu lagi soalan yang membuat langkah Nurraysa terhenti.         “Kenapa kata laluan telefon kau…tarikh lahir aku, Sya?.” Nada suaranya naik sedikit, bergetar antara marah dan hairan. Nurraysa kaku. Tangannya pantas meraba poket skirt…kosong!. Telefon itu tiada. Pasti tertinggal dalam wad Abi tadi tapi….bagaimana Jazlan tahu?. Seketika kemudian, Jazlan mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluarnya sendiri.      ...

Teaser 3

  “Tumpang tanya, bilik Encik Adam dekat mana ya?.” Aku tanya pada seorang pensyarah perempuan yang kebetulan keluar dari bilik. Dia tunjuk satu bilik yang aku sebenarnya dah lalu tadi. Okay, patah balik. Tiba depan pintu bilik tu…aku ketuk. Sekali. Dua kali. Tiga. Nada ketukan aku makin berat, makin laju tapi tak ada suara. Tak ada gerakan. Tak ada respon langsung dari dalam. Kalaulah ini bukan bilik pensyarah, dah lama aku terajang pintu tu. Rasa geram, rasa letih, rasa macam semua benda nak datang serentak ke atas kepala aku hari ni. Aku dah bersedia nak balik je. Cari mana-mana sudut yang sunyi, yang boleh aku duduk dan menangis puas-puas. Aku nak luah semua pada Allah. Aku dah tak tahu nak cerita dekat siapa lagi tapi entah kenapa, aku gagahkan juga diri buka pintu tu perlahan-lahan. Nafas aku tarik panjang, dalam. Jari aku pegang tombol pintu erat-erat sebelum aku tolak. Pintu bergerak sedikit demi sedikit. Bilik tu luas. Ada aura klasik, macam pejabat zaman dulu. M...