Masa berlalu cepat. Lebih kurang pukul sembilan malam, baru Abang Khalish muncul dan di belakang dia….Encik Adam.
Aku terdiam. Jantung berdegup laju.
Ya Allah…betul ke apa yang aku nampak ni?.
Masa aku doa minta dia datang tu….aku main-main je tapi tak sangka Allah makbulkan permintaan aku. Atau mungkin Abi yang jemput?. Entahlah tapi Sya…tolonglah jangan over.
“Sekarang semua dah ada. Saya ada benda penting nak sampaikan kepada semua orang terutamanya Abi…”
Aku angkat kening. Dalam hati dah mula teka, mesti pasal Kak Nayla. Mungkin prosedur bersalin ke atau nak tunda cuti bersalin ke…atau entahlah.
Aku hirup sikit jus jambu. Rasa dia masih sama, manis, masam dan buat tekak rasa sejuk.
“Sebenarnya kedatangan Dr. Adam malam ini bukan saja-saja. Dia ada niat baik. Ada sesuatu yang dia nak cakap dengan Abi. Errr, biar Adam sendiri yang beritahu.”
Aku pandang Encik Adam. Tenang tapi mata dia pandang depan je. Macam tengah hafal skrip. Tangan aku automatik pegang gelas lebih kuat.
Dan masa tu, dia buka mulut;
“Saya berhajat nak masuk meminang anak perempuan Encik Omar.”
DUMP!.
Aku tersedak. Jus jambu keluar bukan je dari mulut, rasa macam nak keluar ikut hidung sekali. Tekak rasa sempit macam jus tu tiba-tiba jadi macam konkrit. Aku batuk teruk. Mama Mia cepat-cepat tepuk belakang aku. Lembut tapi muka dia panik.
“Sya…..tarik nafas…tarik nafas dulu.”
Tapi dalam kepala aku sekarang dah blackout. Anak perempuan Encik Omar?. Anak perempuan yang mana satu?. Siapa?.
Jus yang masih bersisa dalam mulutku tiba-tiba memberontak, memercik keluar tanpa sempat aku tahan. Aku terkedu. Tanpa sengaja, ia terhambur tepat ke wajah Jazlan. Lelehan jus itu turut membasahi kolar bajunya.
Fadil dan Fazli pula terkial-kial menahan ketawa. Jazlan memandangku dengan wajah berkerut, jelas menahan rasa tidak senang. Bukan kebiasaan dia bersikap begitu. Selalunya dia akan terus tergelak atau sekurang-kurangnya menyakat aku semahu-mahunya tapi hari ini…. sejak dia pulang dari majlis konvokesyen tadi, dia memang agak pelik.
Suasana serius yang cuba dibentuk oleh Abang Khalish serta-merta berkecai. Mereka semua tergelak menyaksikan reaksi canggung aku sedangkan aku sendiri….masih tercari-cari kesedaran. Masih cuba menghadam apa yang baru saja berlaku.
Jantungku berdegup laju seolah-olah mahu melompat keluar dari dada. Ini…ini kali pertama aku dilamar!. Puteri Abi cuma tiga orang dan mustahil Kak Tasya atau Kak Nayla yang dimaksudkan.
Encik Adam….melamar aku?. Aku?. Aku tak salah dengar ke ni?. Ya Allah!!. Seseorang tolong tepuk pipi aku sekarang dan tolong beritahu aku ini cuma mimpi yang pelik!.
Mataku berkedip berkali-kali namun realitinya tetap sama. Tak berubah sedikit pun. Baru semalam dia macam singa, garang bukan main. Hari ni, dia sebut perkara yang…Ya Allah!. Tak masuk akal langsung!. Tapi….ini sungguh-sungguh ke?.

Ulasan
Catat Ulasan