Suasana ni….aku tak pernah teringin pun untuk tengoknya. Aku duduk di sebelah Kak Ana. Di depan meja sana, Abi dan Jazlan duduk berhadapan, ditemani Fadil dan Fazli. Orang makin ramai. Nafas aku jadi sempit. Ayah Jazlan mula baca kata alu-aluan majlis pernikahan tapi fikiran aku entah ke mana. Tak dapat fokus langsung. Aku pandang tangan sendiri. Tidak….. bukan sekarang. Tolong jangan sekarang. Fobia aku datang balik. Tangan aku sejuk, menggeletar. Peluh pun keluar entah dari mana.
“Aku terima nikahnya Nur Nurraysa…”
Segalanya terhenti.
“Jazlan, bukan Nur Nurraysa tapi Nur Natasya.”
Aku rasa Jazlan pandang aku. Cepat-cepat aku palingkan muka ke arah lain.
“Dia gugup tu Abi…” suara Abang Khalish cuba selamatkan keadaan.
Hampir semua saksi tertawa kecil tapi dalam hati aku…kosong. Hanya suara yang sayup dan jantung yang belum berhenti berdegup laju.
Ayuhlah Nurraysa. Kau boleh….jangan menangis lagi. Jangan!.
“Aku terima nikahnya Nur Natasya binti Omar dengan mas kahwinnya seperti yang tersebut, dibayar tunai.”
Aku tundukkan wajah. Sekali mata aku berkelip, air mata itu pasti jatuh.
“Macam mana saksi?. Sah?.”
“SAH!.”
Selamat tinggal Jazlan. Terima kasih…kerana akhirnya menamatkan penantian aku.
“Sya pergi tandas sekejap ye kak.” Bisikku bila Ummi suruh aku temankan Kak Tasya.
“Nanti akak sorang-sorang. Macam mana kalau Jazlan datang?.”
Aku senyum sambil usap pipi Kak Tasya yang manja tu.
“Kan dah sah?.”
Dia senyum bahagia. Pipi dia merah-kemerahan. Suci, jujur. Aku bangga dengan dia dan pada masa yang sama, aku rasa kosong.
Aku tutup pintu bilik air perlahan-lahan. Senyuman aku hilang. Tubuh aku merosot ke lantai, perlahan dan lesu. Aku buka paip. Biarlah air itu menenggelamkan segalanya. Tangisan yang aku tahan akhirnya mengalir juga. Semoga bunyi air cukup kuat untuk tutup suara hati aku yang pecah. Kenapa semuanya rasa terlalu sakit?. Aku betul-betul kena lepaskan dia sekarang. Dia dah bukan milik aku. Dia milik orang lain. Dia bukan lagi ‘Makhluk Pluto’ aku dan ‘Mini Frozen’...dah takkan pernah wujud lagi.

Ulasan
Catat Ulasan