“Astaghfirullah…Nurraysa. Kenapa awak tak bagitahu yang kaki awak melecet?. Kalau saya tahu, saya takkan ajak awak jalan sampai ke sini. Tengok ni….dah merah teruk ni.” Nada dia mula risau. Dia buka stokinnya dan hulurkan padaku.
“Pakai ni, lepas tu….” dia pusing badan, berlutut dengan belakang menghadap aku.
“Naik…”
Aku terkaku. Dia….nak dukung aku?.
“Nanti kaki awak berdarah kalau terus
berjalan.”
“Tak naklah….Sya bukan budak kecil
lagi. Malulah…” aku berbisik malu-malu.
“Awak ingat saya tak malu ke nak dukung awak?. Sekarang awak pilih, naik atau awak nak saya tinggalkan awak kat sini?. Cepat naik, sebelum orang lain nampak.” Suara dia kedengaran macam ancaman manja.
Akhirnya aku akur juga. Aku peluk lehernya erat-erat, takut jatuh.
Dan ya…dia betul-betul dukung aku. Ya, memang romantik…tapi kalau orang luar tengok, mungkin nampak Encik Adam macam tengah kena dera dengan aku. Dahlah dia lapar tapi kena dukung aku pulak. Sepanjang jalan yang dihiasi lampu berkelip, orang-orang yang lalu lalang pandang kami sambil tersenyum.
Jantung aku mula berdegup laju.
“Sya berat tak?.” Soalku, separuh risau.
“Perempuan kan tak suka kalau dipanggil ‘gemuk’?.” Balasnya bersahaja.
Aku tergelak kecil. Secara tak langsung dia cakap aku beratlah tu.
Pernikahan kami dah agak lama dan soalan yang satu ini…selalu bermain dalam fikiran aku dan malam ini, aku rasa, aku perlu tahu jawapannya.
“Ada benda yang Sya nak tanya…” aku ambil nafas seketika.
“Kenapa Encik Adam tak pernah bincang tentang hak Encik Adam sebagai suami?. Kata Rachel, mana ada lelaki yang sanggup tak sentuh isteri dia.”
“Ini kan saya dah sentuh awak…” jari telunjuknya menyentuh pipiku perlahan.
“Bukan itulah maksud Sya!. Hishhhh…” aku mencubit lengannya, malu-malu.
Dia hanya ketawa kecil, seperti biasa…menenangkan.
“Tak nak jawab ke?.”
“Belum sampai masanya Sya. Hati awak…masih belum sepenuhnya untuk saya. Awak pun masih anggap saya ni pensyarah awak, bukan suami sepenuh jiwa. Kalau saya paksa, takutnya nanti jadi luka…saya tak nak awak trauma.”
Begitulah dia. Setiap kali bercakap, mesti ada asas, kadang-kadang perubatan, biologi, kimia, sastera dan psikologi.
“Kalau macam tu…. bagaimana pula dengan hati Encik Adam?, dah sepenuhnya untuk Sya ke?.”
“Saya mencintai awak kerana Allah, Nurraysa…”
Aku terdiam. Jantungku berdebar tak tentu arah. Senyuman terukir perlahan. Wanita mana yang tak ingin dicintai sedalam itu?.
“Errr Encik Adam cakap apa tadi?.”
“Tak ada ulangan!.”
“Garangnya….”

Ulasan
Catat Ulasan